Followers

Sunday, February 5, 2012

Maulidur Rasul 1433H........


12 Rabiul Awal merupakan tarikh yang bersejarah yang mana saban tahun umat Islam seluruh dunia sama-sama menyambut hari kelahiran putera bertuah yang telah merubah peradaban dunia. Muhammad begitulah nama indah kepada putera Abdullah dan Aminah ini yang telah menunjukkan sifat keperibadian dan akhlak yang terpuji semenjak kecil lagi. Tujuan perayaan ini dilakukan bukanlah untuk memuja Rasulullah S.A.W tetapi sebaliknya bagi mengingati segala pengorbanan baginda dan yang lebih utama lagi untuk mencontohi akhlak serta segala sunnah yang ditinggalkan kepada kita.

Kelahiran Rasulullah S.A.W adalah pada tahun Gajah di mana tentera Abrahah yang berpusat di Yaman telah datang ke Mekah untuk meruntuhkan Ka’bah. Perancangan ini adalah bertujuan memastikan manusia pada masa itu tidak lagi tertumpu di Mekah setiap tahun dalam mengerjakan ibadat haji sebaliknya mengerjakannya di Yaman. Datu baginda iaitu Abdul Muttalib apabila melihat kemaraan tentera bergajah Abrahah meminta agar kesemua penduduk Mekah untuk bersembunyi bagi menyelamatkan diri masing-masing daripada tentera itu. Beliau menyatakan bahawa Ka’bah adalah milik Tuhan yang mana Dia tetap menjaganya daripada pencerobohan mereka yang zalim. Akhirnya Allah menghantar burung Ababil untuk menghancurkan tentera bergajah Abrahah. Tentera Allah yang kecil iaitu burung mampu mengalahkan tentera bergajah Abrahah dengan lontaran batu-batu kecil sahaja. Ini bermakna setiap sesuatu tidak mampu melawan kehendak Allah yang Maha Pencipta. Pejuang Islam mesti yakin dengan pertolongan Allah yang akan bersama mereka yang ikhlas dan bersungguh dalam memperjuangkan Islam sebagaimana keyakinan yang wujud dalam hati datuk Rasulullah s.a.w iaitu Abdul Muttalib yang begitu yakin bahawa Ka’bah tetap akan dijaga oleh Tuannya iaitu Allah ketika melihat kemaraan tentera Abrahah. Kita sebagai pendakwah mesti lebih yakin daripada beliau terhadap pertolongan Allah dalam mengembalikan ketuanan Islam.

Lahirnya Rasulullah s.a.w daripada bangsa arab berketurunan Quraisy selain daripada menempelak Yahudi dan Kristian yang mendakwa bahawa bani Israel merupakan anak dan kekasih Allah, ia juga memberi pengajaran kepada kita bersama bahawa lahirnya pendakwah daripada keturunan yang baik disertai pula dengan akhlak dan keperibadian yang soleh akan menjadi pemangkin yang begitu penting dalam penyebaran dakwah. Oleh itu kita perlu menitik beratkan mengenai keturunan kita dalam memastikan dakwah Islam yang kita bawa akan lebih tersebar. Ingatlah bahawa keluarga merupakan fitnah yang begitu besar kepada pendakwah di mana ramai dikalangan mad’u atau mereka yang didakwah akan melihat bagaimana keadaan keluarga pendakwah sebelum menerima dakwah yang dibawa. Memang tidak dinafikan bahawa bukannya hanya faktor keturunan yang akan membantu dalam berdakwah kerana ramai juga yang dilahirkan dalam keadaan keturunan yang tidak terkenal tetapi mampu dan berjaya untuk menjalankan kerja-kerja dakwah. Ada juga yang berketurunan baik tetapi dirinya sendiri terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar sehingga menjadi seorang yang tidak berguna malah penentang kepada Islam itu sendiri. Namun begitu persoalan mengenai keturunan yang mulia dibantu oleh sifat yang terpuji serta amal yang mulia merupakan gabungan yang ideal dalam memastikan kerja-kerja dakwah yang lebih berjaya. Oleh itu Allah melahirkan baginda s.a.w dalam keluarga yang berketurunan yang mulia dan dihormati pada masa itu bagi membantu baginda s.a.w ketika menyampaikan dakwah. Mereka yang masih kufur tidak boleh lagi berhujjah bahawa Islam tidak dapat diterima kerana ia dibawa oleh seorang yang berketurunan biasa kerana baginda s.a.w berketurunan baik dan terpilih.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).(al-ahzab 21).



No comments:

Post a Comment