17 Ramadhan yang mana ia merupakan hari di mana Al-Quran telah diturunkan oleh Allah SWT seperti yang disebut sebagai Malam Qadar atau Lailatul Qadar. Jangan kita bahawa tibanya hari nuzul Al-Quran bermakna kita akan mendapat cuti. Nuzul Al-Quran adalah salah satu rahmat Allah swt yang terbesar buat umat manusia sejagat. Ia mempunyai ingatan dan pengajaran yang besar kepada kita pada hari ini, bahkan kepada kesemua bani insan hingga ke Hari Kiamat. Nuzul Quran bererti “Penurunan Al-Quran” oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad saw melalui Jibril pada malam 17 Ramadan tahun 610M di Gua Hirak, di puncak bukit Jabal Nur, Makkah Al-Mukarramah. Ketika nabi Muhammad saw sedang mengasingkan diri dari kekufuran dan kemaksiatan kaumnya di Mekah, datang Jibril menyampaikan 5 ayat pertama Surah Al-Alaq (Iqrak, bismirabbaikalladzi khalaq …) sekaligus terlantiklah Nabi Muhammad saw sebagai Rasul Allah yang terakhir dan Nabi Akhir Zaman.
Diantara pengajaran-pengajaran Nuzul Quran ialah :
(1) Allah swt memilih para rasulnya dikalangan mereka yang memiliki peribadi yang mulia. Jika kita hendak mewarisi peranan para Anbiyak ini, maka kita juga seharusnya memiliki akhlak yang luhur, keikhlasan yang tinggi dan ketabahan yang tidak berbelah bagi.
(2) Walaupun belum dipilih menjadi Nabi dan Rasul, Nabi Muhammad saw telah dapat menilai keburukan tingkahlaku kaum Quraisy yang telah menjadi adat kebiasaan turun temurun seperti minum arak, zina, membunuh anak, riba, menipu dalam timbangan, menindas orang lain, membezakan manusia berdasarkan warna kulit dan sebagainya. Kesemua ini menyebabkan Baginda saw mengasingkan dirinya di Gua Hirak. Oleh itu diantara pra-syarat utama bagi seorang daie (pendakwah) ialah kebencian hatinya terhadap keruntuhan yang sedang berlaku didalam masyarakatnya, walaupun ianya telah nampak biasa dan menebal serta menjadi lumrah dalam masyarakat. Jahiliyah hari ini tidak kurang parahnya seperti arak, zina, buang anak, rasuah, kezaliman ke atas orang lain dan sebagainya. Persoalannya, adakah kesemua ini menyebabkan seseorang itu insaf keadaan tersebut, luluh hatinya mengenangkan nasib umatnya dan bertekad bersungguh-sungguh untuk merubah keadaan tersebut ? Atau saban hari dia membaca akhbar dan mendengar berita yang menyedih dan menjijikkan, namun kesemua itu tidak mengesani jiwanya dan menggerakkan anggotanya untuk berdakwah?
3) Membaca atau “Iqrak” mempunyai peranan yang sangat penting kepada masyarakat Islam dan diantara sebab utama dalam merubah nasib mereka. Hampir ianya menjadi salah satu ciri umat di Barat yang memimpin dunia hari ini. Adapun di Dunia Islam, minat kepada membaca masih belum melata dan menebal.
(4) Betapa hebat dan kuatnya jiwa Rasulullah saw dalam bukan sahaja menerima ayat-ayat Al-Quran tetapi juga menerima bebanan Dakwah yang terkandung didalam ayat-ayat tersebut. Baginda saw hanya menggigil ketakutan tetapi tidak binasa jiwanya. Sekiranya pada malam itu Al-Quran diturunkan bukan kepada Baginda saw, tetapi kepada Gua Hirak atau Jabal Nur itu sendiri, nescaya akan pecah bukit tersebut lantaran tidak tertanggung amanah yang diberikan oleh Allah swt. “Kalau Kami turunkan Al-Quran ini keatas bukit, nescaya engkau akan melihatnya tunduk dan pecah kerana takut kepada Allah. Demikian perumpamaan Kami berikan kepada manusia supaya mereka berfikir” (Al-Quran).
5) Tidak lengkap mengingati malam Nuzul Quran jika tidak menyebut nama Khadijah ra, isteri tersayang Rasulullah saw. Ketika Rasulullah saw mengigil ketakutan, Khadijah ra tenang lagi menenangkan suaminya !! “Aku takut akan diriku (akan ditimpa musibah dek jembalang tersebut)”, sabda Rasulullah saw, ketika menceritakan pertemuannya dengan makhluk yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. “Kalla !!! Ma yukhzikallahu abada !!!” (Sekali-kali tidak !!! Allah tidak akan membuat sesuatu yang buruk kepada kamu !!! Sesungguhnya engkau menghubungkan Silaturrahim, menyumbang kepada orang yang tidak mempunyai harta, memikul bebanan (orang yang memerlukan bantuan) … “, tegas Khadijah ra dengan penuh kasih sayang yang yakin akan latarbelakang suaminya yang bersih, tidak mungkin sebersih itu Allah swt akan mendatangkan suatu yang buruk kepada insan yang sebegitu dikenalinya.